SELAMAT DATANG.

P.I.S.M.P. BAHASA MELAYU AMBILAN JANUARI 2007, IPG KAMPUS KENINGAU, SABAH.

Sila isi Buku Pelawat, terima kasih.

9 Sep 2008

Renungan Sejenak

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada pelajar PISMP BM, bermula hari esok (Rabu) Encik Sahidani Abd Dani , Encik Bahaman Hj Ismail dan Encik Agus Yanul akan menghadiri kursus di Kota Kinabalu sehingga hari Jumaat. Ini bermakna kuliah-kuliah yang melibatkan pensyarah berkenaan perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin dengan melakukan ulang kaji atau menyiapkan tugasan.

Sejak akhir-akhir ini, saya sering menerima laporan tidak rasmi yang sebahagian besar pelajar lebih suka berada di bilik sekiranya tiada pensyarah semasa kuliah. Minggu lepas pihak HEP telah mengambil tindakan terhadap beberapa orang pelajar atas kesalahan yang sama. Tindakan pelajar berkenaan menurut hemat saya kurang bijak dan jelas tidak mencerminkan ciri-ciri pelajar yang baik.

Ingatan dan nasihat yang sama telah saya sampaikan kepada kelas lain dan berharap kesalahan seumpama itu tidak terus berulang. Sekalipun, pensyarah telah memaklumkan lebih awal yang kuliah ditiadakan atas urusan rasmi di luar tetapi janganlah sewenang-wenangnya meningggalkan kelas atau tidak hadir langsung. Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk mengisi kekosongan tersebut. Membuat latihan, perbincangan berkumpulan, berkolaborasi dengan pensyarah, membuat rujukan di Pusat Sumber dan banyak lagi. Sebagai pelajar yang berada di peringkat sarjana, pembelajaran kendiri amat dituntut selain melakukan perbincangan di luar kuliah.

Saya masih teringat ketika saya berada di tempat anda semua, mengikuti pengajian sarjana muda di salah sebuah IPTA tempatan. Kebanyakan kuliah yang diberikan oleh pensyarah hanya dalam suasana yang benar-benar syarahan sahaja. Setiap syarahan berakhir, pasti disusuli dengan senarai rujukan yang melebihi 20 bahan. Lebih perit lagi, hampir 90% bahan tersebut dalam Bahasa Inggeris dan tidak semuanya mudah diperoleh di Pusat Sumber. Disinilah usaha yang "gila-gila" kami tunjukkan, mencari di perpustakaan IPTA lain dan di kedai-kedai buku. Kalau dapat satu atau dua buah rujukan yang disenaraikan itu, dah dikira bernasib baik. Semasa sesi tutorial akademik, perbincangan bersama pensyarah harus lebih bersedia. Saya masih teringat, semasa sesi tutorial, pensyarah bertanya dahulu rujukan yang dibaca, sekiranya ada yang berkata tak jumpa dan belum membaca, dipersilakan keluar sahaja tanpa banyak bicara. Alasan tiada buku, tiada masa, sukar diperoleh bukanlah alasan yang boleh diterima oleh profesor, doktor dengan sewenang-wenangnya. Pengalaman-pengalaman tersebut menjadikan kami lebih berusaha dan cepat matang. Matang dalam mengurus masa dan pembelajaran kendiri.

Pelajar-pelajar di IPG masih belum sampai ke tahap itu, masih banyak lagi yang boleh ditingkatkan, ruang-ruang kelemahan itu agak lambat diatasi.

Saya harap agar anda, pelajar PISMP BM sebagai kumpulan yang "senior" di IPG ini dapat meletakkan status sarjana itu dengan menunjukkan teladan yang baik dan menjadi rujukan pelajar "junior" lain.

Sekian untuk ingatan dan renungan bersama.Terima Kasih


2 ulasan:

penjejak pismp berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
penjejak pismp berkata...

Jangan 'bila kita dah terhantuk baru kita nak terngadah'